Sunday, November 20, 2011

SEJARAH MASJID

Masjid Bagan Air Itam asalnya didirikan pada tahun 1870an. Dengan berbekalkan tenaga fizikal anak qaryah yang sanggup mengetam batu di kawasan Tok Gambut, Sg.Pinang, kira-kira 3km dari Bagan Air Itam sebanyak 14 batang batu pejal sepanjang 20 kaki dan sekaki lebar dibawa dengan menggunakan kereta lembu untuk dijadikan tiang pasak masjid. Berkat muafakat dan usaha gigih anak jemaah di waktu itu, mereka berjaya mendirikan masjid bersejarah tersebut. Sayangnya, tidak siapapun tahu bagaimana, bila dan siapakah tokoh pembinaan masjid ini ,walhal ia berdiri megah sebagai antara khazanah tertua di daerah ini.

Seratus tahun berlalu, pertambahan penduduk dan kesesakan ketika solat jumaat telah mengilhamkan pihak Jawatan Kuasa Masjid untuk membangunkan semula masjid ini. Justeru itu, pada peringkat awalnya mulai tahun 1994 kutipan derma berkelompok sebanyak RM240 sekeluarga dibuat selama 2 tahun, kemudian dilanjutkan 10 bulan lagi sebanyak RM200 akibat peningkatan kos pembinaan. AlhamdulilLah, berkat usaha, ketekunan dan kesabaran, Jawatankuasa Pembinaan berjaya mengumpul wang sebanyak RM600,000  dan  baharulah projek pembinaan dijalankan sepenuhnya. Kesemua dana pembinaan sama ada berbentuk wang ringgit ataupun material adalah hasil sumbangan orang ramai – anak qaryah termasuklah yang berada di luar serta individu yang sanggup menginfakkan harta demi mendirikan rumah Allah ini.
25 Jun 2000 membuka satu lagi lembaran sejarah apabila perasmian masjid baru Bagan Air Itam dengan disempurnakan sendiri oleh imamnya, Tuan Haji Saad bin Mat Lazim, seorang pemimpin masyarakat yang disegani, merangkap Pengerusi Jawatan kuasa Pembinaan Masjid dan tokoh Maulidul Rasul Pulau Pinang 1999. Pemilihan beliau adalah berasaskan penglibatannya yang menjangkau usia lebih 20 tahun, juga adalah satu pengiktirafan tertinggi yang dapat diberikan oleh Qaryah ini.

Sekalung penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua penderma yang sanggup bersama-sama berderma untuk menjayakan pembangunan masjid baru ini. Semoga semua usaha ini diberkati Allah hendaknya.

PENGERUSI QARYAH.